fb fb fb fb fb

Mengisi kemerdekaan, tanggungjawab generasi kini

Foto hiasan/JAPEN

SAUDARA PENGARANG

Kemerdekaan merupakan satu peristiwa bersejarah bagi sesebuah negara. Ia menandakan berakhirnya era penjajahan dan bermulanya era baharu di mana rakyat boleh memerintah dan menguruskan sistem pentadbiran negara. Sejak pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, negara kita telah mengecapi kemerdekaan selama 68 tahun setelah dijajah oleh kuasa asing seperti British, Jepun dan Portugis.

Kemerdekaan ini diperoleh bukan melalui peperangan tetapi hasil rundingan tokoh-tokoh yang telah menabur jasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Ia jua merupakan hasil perjuangan bersama, pengorbanan dan kebijaksanaan para pemimpin serta perpaduan rakyat berbilang kaum. Ia menjadi asas penting dalam membina sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu padu hingga ke hari ini. Sejak itu, negara terus melangkah ke hadapan dalam usaha membangunkan tanah air.

Sebelum mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu telah dijajah oleh beberapa kuasa besar selama lebih 400 tahun antaranya British, Jepun, Portugis dan Belanda. Penjajahan Tanah Melayu bermula pada tahun 1511 apabila Portugis yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque mula menakluki Melaka, sebuah pelabuhan penting di Asia Tenggara. Penaklukan ini berlaku selepas Portugis mengadakan ekspedisi untuk menguasai laluan perdagangan rempah yang sangat bernilai pada ketika itu.

Portugis menguasai Melaka selama kira-kira 130 tahun sebelum kota ini diambil alih oleh Belanda pada tahun 1641 dengan menguasai Melaka selama hampir 183 tahun. Penjajahan Tanah Melayu diteruskan dengan kemasukan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda yang membahagikan kawasan pengaruh di Asia Tenggara.

British mengembangkan pengaruh mereka bukan sahaja di Melaka tetapi juga di negeri-negeri Melayu yang lain serta Pulau Pinang dan Singapura. Penjajahan British bertahan sehingga Perang Dunia Kedua, apabila Jepun menakluk Tanah Melayu dari tahun 1941 hingga 1945. Selepas Jepun menyerah kalah, British kembali menguasai Tanah Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Usaha untuk menentang penjajahan bermula dengan penubuhan Malayan Union pada tahun 1946 oleh British. Tujuan penubuhan Malayan Union adalah untuk menyatukan Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran, tetapi British berkuasa besar terhadap pentadbiran serta hak orang Melayu sehingga mengakibatkan orang Melayu membuat bantahan terhadap pentadbiran Malayan Union.

Seiring dengan itu Dato’ Onn Jaafar telah menubuhkan United Malays National Organisation (UMNO) dan menjadi suara utama dalam menentang rancangan British. Rakyat bangkit menentang penjajah melalui perjuangan bersenjata seperti Tok Janggut dan Mat Kilau serta gerakan nasionalisme. Penubuhan parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC menunjukkan kesepaduan rakyat berbilang kaum dalam menolak penjajahan.

Penentangan ini menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang memberikan sepenuhnya hak terhadap penduduk tempatan. Penolakan Malayan Union (1946) menjadi titik kebangkitan rakyat mempertahankan hak dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Perjuangan kemerdekaan diteruskan dengan rundingan damai yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman di London dengan akhirnya membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Pada 31 Ogos 1957, di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, Tunku Abdul Rahman dengan lantang melaungkan perkataan "Merdeka!" sebanyak tujuh kali di hadapan ribuan rakyat. Upacara ini menandakan berakhirnya penjajahan British dan permulaan era baharu sebagai sebuah negara berdaulat.

Selepas kemerdekaan, Malaysia berusaha membina negara yang moden, stabil dan makmur. Pembangunan negara dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti ekonomi dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMK) bagi merancang pembangunan secara sistematik selain memperkembangkan sektor industri, pelancongan, pertanian moden, dan teknologi maklumat dan membangunan koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia dan NCER (Koridor Ekonomi Wilayah Utara).

Dalam aspek infrastruktur pula, kerajaan telah membina lebuh raya, jambatan, sekolah, hospital, lapangan terbang dan bandar baharu seperti Putrajaya dan Cyberjaya dan melaksanakan projek besar seperti MRT, LRT, Pan Borneo Highway dan projek menara Merdeka 118.

Bagi aspek pendidikan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina banyak sekolah, universiti dan pusat latihan kemahiran serta memberikan penekanan kepada pendidikan STEM, TVET dan akses pendidikan percuma di peringkat rendah dan menengah.

Perpaduan kaum terus menjadi asas penting kepada kestabilan dan kemajuan negara dan dilakukan melalui penubuhan Dasar Rukun Negara (1970) yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969, bagi mengukuhkan perpaduan rakyat dan mengelakkan perpecahan kaum, serta isu sensitiviti kaum dan agama serta ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan sekolah kebangsaan sebagai medium untuk menyatupadukan rakyat sejak kecil dan menganjurkan sambutan kebangsaan seperti Hari Kemerdekaan mahupun Hari Malaysia yang diraikan oleh semua kaum sebagai lambang penyatuan.

Pelbagai cabaran dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan sejahtera untuk generasi akan datang. Malaysia ialah sebuah negara yang unik kerana kepelbagaian kaum, agama, dan budaya. Proses mencapai kemerdekaan juga tidak hanya bergantung kepada perjuangan politik dan diplomasi, tetapi juga kepada semangat perpaduan kaum yang tinggi.

Kerjasama erat antara Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain menjadi kunci kepada kejayaan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan juga asas penting dalam pembinaan negara selepas merdeka. Kemerdekaan adalah titik mula kepada pembinaan Malaysia moden.

Pembangunan negara sejak 1957 hingga kini adalah bukti usaha berterusan kerajaan dan rakyat dalam membina masa depan yang lebih baik. Generasi hari ini perlu menghargai dan mempertahankan kemerdekaan ini dengan semangat patriotik dan sumbangan aktif dalam pembangunan negara.

Sebagai penutup bicara akhir, kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajah, tetapi merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua rakyat. Malaysia yang kita warisi hari ini ialah hasil pengorbanan generasi terdahulu dan harapan generasi kini adalah untuk melihat negara ini terus maju, bersatu dan dihormati di mata dunia.

Setiap rakyat harus memainkan peranan masing-masing dalam mengisi kemerdekaan dengan semangat patriotik dan cinta akan negara. Kemerdekaan Malaysia juga bukan hanya dicapai melalui rundingan atau politik semata-mata tetapi juga hasil daripada perpaduan antara pelbagai kaum. Semangat muafakat yang wujud sebelum merdeka perlu terus dipelihara dengan pengisian dan tanggungjawab.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlu terus menyemai semangat perpaduan dan bekerjasama demi merealisasikan harapan untuk melihat negara yang lebih aman, makmur dan progresif di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan yang dikenali sebagai Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai lambang kebebasan daripada penjajahan.

Hasil perjuangan gigih pemimpin dan rakyat yang cintakan tanah air, kemerdekaan bukan hanya perlu dikenang tetapi juga diisi dengan harapan agar Malaysia terus maju, aman, dan bersatu padu. Oleh itu, semua pihak perlulah memainkan peranan penting dalam menstabilkan kemakmuran negara.

Jika usaha ini tidak dilakukan maka lebih banyak kesan yang negatif akan berlaku terhadap keamanan negara serta terus memperkukuhkan perpaduan kaum melalui pelbagai kaedah dan hidup dalam semangat hormat menghormati selain melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memajukan ekonomi dan sistem pentadbiran negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD. NASHARUDDIN MOHD. SHAH
Mohd Nasharuddin Mohd Shah
Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi, Johor
Jabatan Penerangan Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI