Kota perlu ada jiwa

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Psikogeografi: ruang fizikal mempengaruhi perasaan dan pengalaman penduduk.
  • Setiap kota menawarkan pengalaman berbeza; sesuai untuk pelbagai keperluan emosi dan gaya hidup.
  • Reka bentuk, kemudahan awam dan identiti tempat menentukan kesejahteraan penduduk.
  • Kejayaan kota mesti diukur melalui pengalaman hidup, bukan semata-mata pembangunan ekonomi.

Bila sebut tentang kota atau bandar, kita selalu bayangkan bangunan tinggi, jalan yang sibuk dan kehidupan yang pantas. Semuanya nampak hebat, moden dan penuh peluang. Tapi pernah tak kita terfikir kenapa ada masa kita rasa tenang di sesuatu tempat, dan ada masa kita cepat tetap gembira walaupun berada di kota yang sama

Setiap daripada kita pasti pernah merasainya. Ada tempat yang membuatkan kita tenang walaupun sederhana, dan ada pula lokasi yang serba moden tetapi terasa kosong.

Fenomena ini bukan kebetulan, tetapi sebahagian daripada apa yang disebut sebagai psikogeografi, istilah tentang bagaimana ruang fizikal mempengaruhi perasaan dan pengalaman manusia. Dalam erti kata lain, kota bukan sekadar dibina, tetapi “dihidupi”.

Sebenarnya, kota bukan sekadar tempat kita bekerja dan tinggal. Kota adalah ruang yang kita “rasa” setiap hari. Ada tempat yang buat kita selesa, mudah bernafas dan rasa dekat dengan orang sekeliling.

Ada juga tempat yang membuatkan kita bergerak laju, fokus dan sentiasa aktif. Kedua-duanya ada peranan tersendiri dalam kehidupan kita.

Ambil contoh Kuala Lumpur. Kotanya melambangkan kemajuan, kepelbagaian dan peluang tanpa sempadan. Di sinilah ramai mengejar impian dan membina kerjaya.

Dalam masa yang sama, suasana yang dinamik ini juga membentuk gaya hidup yang pantas sesuai bagi mereka yang sukakan cabaran dan rentak kehidupan yang aktif.

Putrajaya pula hadir dengan pendekatan yang berbeza. Reka bentuknya yang terancang, landskap hijau dan susun atur yang kemas memberikan rasa keteraturan dan ketenangan. Kotanya sesuai untuk mereka yang menghargai suasana tersusun dan ruang yang lebih lapang untuk bernafas.

Di Pulau Pinang dan Melaka, pengalaman kotanya terasa lebih berlapis. Di sini, sejarah, budaya dan kehidupan moden bergabung dalam satu ruang. Setiap lorong dan bangunan membawa cerita, menjadikan pengalaman berjalan kaki di bandar ini lebih bermakna dan penuh rasa.

Johor Bahru pula mencerminkan tenaga sebuah kota yang berkembang pesat sesuai dengan lokasinya yang berhampiran dengan negara Singapura. Kedudukannya yang strategik membuka banyak peluang ekonomi dan pergerakan manusia yang aktif.

Kotanya menjadi ruang yang dinamik, sesuai untuk mereka yang sentiasa bergerak dan mencari peluang baharu.

Apa yang menarik, setiap kota ini menawarkan pengalaman yang berbeza dan itulah keindahannya. Tiada satu kota yang “sempurna” untuk semua orang, kerana setiap individu mempunyai keperluan emosi dan gaya hidup yang berbeza. Ada yang sukakan ketenangan, ada yang perlukan kesibukan.

Sebenarnya, kota bukan hanya tentang pembangunan fizikal, tetapi tentang bagaimana ia menyokong kehidupan manusia. Reka bentuk ruang, kemudahan awam, suasana sosial dan identiti tempat semuanya memainkan peranan dalam membentuk kesejahteraan kita.

Mungkin sudah tiba masanya kita melihat kota dengan perspektif yang lebih seimbang. Bukan sekadar mengukur kejayaan melalui pembangunan dan ekonomi, tetapi juga melalui pengalaman hidup yang ditawarkan kepada masyarakat.

Akhirnya, kota yang baik bukan hanya cantik dipandang, tetapi juga selesa untuk didiami. Ia memberi ruang untuk kita bekerja, berehat, berhubung dengan orang lain dan menjadi diri sendiri. Pada akhirnya, kota bukan sekadar tempat kita berada tetapi ruang yang menemani perjalanan hidup kita setiap hari.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Mohd Fadhli Shah Khaidzir
Pusat Pengajian Citra
Universiti Kebangsaan Malaysia


Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham
Pusat Pengajian Citra &
Institut Islam Hadhari
Universiti Kebangsaan Malaysia
e-mel: benferdaoz@ukm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.