SAUDARA PENGARANG
Kemahiran belajar merupakan aspek penting dalam kejayaan seseorang mahasiswa. Ia merangkumi kebolehan menguruskan masa, memahami isi kandungan pelajaran, menyelesaikan tugasan dengan baik serta berkomunikasi secara efektif. Namun, sejak pandemik COVID-19 melanda dan mengubah kaedah pembelajaran kepada dalam talian, ramai mahasiswa kini mengalami kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara fizikal.
Situasi Mahasiswa Pasca-PKP
Pensyarah sering mengeluh mengenai sikap mahasiswa generasi pasca-PKP yang kurang mengambil berat tentang pembelajaran mereka. Ramai yang bersikap sambil lewa dengan menangguhkan tugasan sehingga saat-saat akhir. Selain itu, mereka juga kurang membuat persediaan untuk tugasan pembentangan dan sering dilihat hanya membaca slaid tanpa sebarang penghayatan.
Masalah ‘sleeping partner’ dalam kerja berkumpulan turut dikesan apabila terdapat rungutan daripada mahasiswa mengenai ahli kumpulan yang kurang atau langsung tidak memberi sumbangan dalam menyiapkan tugasan.
Walaupun pensyarah berusaha memberikan peluang kepada mahasiswa untuk memperbaiki prestasi akademik mereka namun sebahagian daripada mereka tidak menghargai peluang yang diberikan. Malah, ada yang tanpa rasa bersalah meminta simpati bagi mendapatkan tambahan markah selepas memperoleh ‘carry mark’ rendah.
Fenomena ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, tetapi juga boleh memberi kesan negatif terhadap masa depan mereka dalam dunia pekerjaan kelak.
Kepentingan Kemahiran Belajar
Kemahiran belajar yang baik membolehkan mahasiswa mengurus masa dengan berkesan. Persiapan awal membolehkan mereka memahami bahan pembelajaran dengan lebih mendalam serta meningkatkan penguasaan terhadap sesuatu topik.
Kemahiran belajar membantu mahasiswa menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap tugasan akademik. Ia juga mengembangkan kemahiran komunikasi melalui pembentangan yang lebih berkualiti serta meningkatkan daya pemikiran kritis dan analitis.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah: 286)
Ayat ini menjadi peringatan bahawa setiap individu termasuk mahasiswa memiliki potensi untuk mencapai kejayaan, asalkan mereka berusaha dengan tekun serta berdisiplin. Namun, ramai mahasiswa didapati kurang mahir dalam menguruskan masa dengan baik. Mereka cenderung menghabiskan terlalu banyak masa bermain permainan video di telefon bimbit sehingga mengabaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
Ketagihan terhadap gajet dan permainan video menyebabkan ramai mahasiswa tidur lewat, bangun lambat dan akhirnya ponteng kelas. Sikap tidak mengambil berat ini menyebabkan mereka gagal menghargai peluang pendidikan yang tersedia, malah sanggup meniru tugasan mahasiswa lain tanpa perlu berusaha memahami atau menghasilkan kerja sendiri.
Strategi Meningkatkan Kemahiran Belajar
Mahasiswa perlu mengambil inisiatif meningkatkan kemahiran belajar dengan menyediakan jadual pembelajaran sendiri dan mematuhinya. Mereka disarankan untuk memanfaatkan hujung minggu dengan menyelesaikan tugasan lebih awal, daripada asyik pulang ke rumah tanpa perancangan yang jelas. Penglibatan aktif dalam kelas perlu dijadikan amalan, seperti bertanya soalan kepada pensyarah dan berdiskusi dengan rakan-rakan. Pemahaman terhadap sesuatu topik juga dapat dipertingkatkan melalui pembelajaran secara berkumpulan.
Di samping itu, mahasiswa harus menggunakan teknologi secara bijak dengan menjadikannya sebagai alat pembelajaran yang berkesan, bukan sekadar untuk hiburan. Dengan menerapkan strategi ini, mereka dapat menguasai kemahiran belajar dengan lebih baik sekaligus meningkatkan prestasi akademik. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Insyirah, ayat 7: "Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras untuk (urusan) yang lain." (Surah Al-Insyirah: 7)
Ayat ini menekankan kepentingan usaha yang berterusan dalam kehidupan manusia. Allah SWT mengingatkan kita agar tidak malas atau berputus asa, sebaliknya terus berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam setiap aspek kehidupan, termasuk pembelajaran dan pekerjaan. Sikap suka bertangguh boleh menjejaskan pencapaian serta masa depan seseorang.
Peranan Pensyarah dan Institusi
Selain usaha mahasiswa sendiri, pensyarah dan institusi turut memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan kemahiran belajar. Pensyarah boleh memberi panduan yang jelas mengenai teknik pembelajaran yang berkesan serta menyediakan sesi bimbingan tambahan bagi membantu mahasiswa memahami topik yang sukar. Pensyarah juga boleh mengintegrasikan teknologi seperti video pembelajaran, kuiz interaktif melalui platform pembelajaran dalam talian untuk menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan.
Institusi pendidikan pula boleh menerapkan penggunaan teknologi pendidikan, pembelajaran berasaskan projek dan perbincangan aktif bagi meningkatkan keterlibatan mahasiswa. Bahan pembelajaran seperti e-book, jurnal dan modul dalam talian yang mudah diakses oleh mahasiswa digunapakai bagi membantu mahasiswa meningkatkan pemahaman terhadap sesuatu subjek. Persekitaran pembelajaran yang kondusif seperti kemudahan perpustakaan, bilik kuliah, makmal dan platform pembelajaran dalam talian yang mudah diakses membantu mahasiswa belajar dengan lebih fokus.
Insititusi pendidikan boleh menganjurkan bengkel atau seminar tentang kemahiran belajar, kursus kepimpinan dan bengkel motivasi secara kerap bagi membantu mahasiswa menguasai kemahiran pengurusan masa, teknik mencatat nota, strategi menghafal yang efektif dan teknik menghadapi peperiksaan dengan lebih berkesan.
Pensyarah dan institusi pendidikan turut boleh menyediakan sesi kaunseling akademik serta berterusan memberi motivasi kepada mahasiswa bagi meningkatkan keyakinan diri dalam pembelajaran. Khidmat kaunseling akademik dan psikologi yang ditawarkan oleh institusi dapat membantu mahasiswa menangani tekanan ketika belajar dan meningkatkan daya tahan mereka terhadap cabaran akademik.
Pensyarah boleh menggalakkan pembelajaran secara berkumpulan dan projek bersama agar mahasiswa dapat bertukar idea serta memperkukuhkan pemahaman mereka melalui perbincangan. Langkah-langkah ini diharapkan dapat memastikan mahasiswa mendapat sokongan yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan akademik. Kemahiran belajar yang baik merupakan kunci kejayaan setiap mahasiswa. Ia bukan sahaja membantu dalam pencapaian akademik, malah membentuk individu yang lebih berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan.
Mahasiswa perlu mengambil tanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dengan mengurus masa dengan baik serta menghargai peluang pendidikan yang diperoleh. Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra’d: 11) Marilah kita berusaha untuk memperbaiki diri dan menjadi mahasiswa yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan berjaya di dunia serta akhirat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.
Dr. Hasyatun Che Nan
Pensyarah Kanan
Jabatan Matematik dan Sains Komputer
Kolej Poly-tech MARA Bangi, Selangor.