SAUDARA PENGARANG
“Anak istimewa bukanlah satu beban, tetapi anugerah untuk mendidik hati lebih sabar dan reda.” Di sebalik senyuman anak-anak orang kurang upaya (OKU) dalam sesebuah keluarga, terselit satu amanah besar yang perlu digalas oleh para ibu bapa mereka, khususnya cabaran membesarkan anak -anak OKU ini dalam dunia yang belum sepenuhnya inklusif buat mereka.
Meskipun kesedaran terhadap keperluan dan hak OKU menunjukkan peningkatan daripada segi dasar dan advokasi masyarakat, namun masih wujud sebahagian komuniti yang kekal dengan persepsi lapuk yang melihat anak-anak OKU sebagai satu beban dan tidak mempunyai sebarang potensi dalam kehidupan.
Tekanan emosi, kewangan, sosial dan spiritual adalah antara cabaran utama yang dihadapi oleh keluarga anak-anak istimewa ini, manakala persepsi masyarakat pula menjadi cerminan sejauh mana nilai empati, simpati dan penerimaan benar-benar wujud dalam budaya masyarakat sekeliling.
Tekanan Sebenar Ibu Bapa
Menurut data yang dicatakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat lebih 681,000 OKU berdaftar di Malaysia sehingga tahun Disember 2023, dan lebih 170,000 daripada jumlah itu merupakan kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun.
Diakui pelbagai kemajuan telah diwujudkan dalam dasar pendidikan dan perlindungan anak-anak OKU, namun tanpa disedari para ibu bapa masih terperangkap dalam tekanan daripada pelbagai sudut.
- Emosi
Rasa malu mempunyai anak kurang upaya, terasing atau perasaan tidak akan diterima oleh masyarakat. - Kewangan
Kos rawatan dan terapi yang diperlukan, tidak termasuk keperluan-keperluan khas anak-anak OKU ini. - Akses Pendidikan
Hanya sekitar 27,000 murid OKU mendapat pendidikan khas dilaporkan pada tahun 2023, tidak sampai separuh dari jumlah keseluruhan kanak-kanak OKU berdaftar. - Sosial
Kurangnya sokongan daripada komuniti, tiada maklumat atau pengetahuan dengan mana-mana komuniti sokongan selain wujudnya stigma dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat.
Persepsi masyarakat pula sering kali terbentuk akibat pemikiran stereotaip dan salah faham, misalnya mereka menganggap anak OKU sebagai suatu beban atau menilai tindakan ibu bapa anak-anak ini sebagai terlalu ‘memanjakan’ anak mereka.
Memberi Sokongan Melalui Sistem dan Empati
Untuk meringankan beban keluarga anak-anak OKU ini, pendekatan secara menyeluruh amat diperlukan. Kempen kesedaran secara berterusan perlu dilaksanakan dengan meluas melalui media massa, media sosial, sekolah dan institusi awam untuk mendidik masyarakat tentang keperluan dan pengurusan anak-anak istimewa ini OKU. Selain itu, suara ibu bapa mereka juga perlu didengari oleh pihak berkenaan atau pihak berwajib terutama dalam menetapkan sebarang dasar berkaitan OKU.
Para ibu bapa tersebut juga memerlukan sokongan psikososial daripada masyarakat untuk memperoleh kekuatan dan semangat dalam menghadapi cabaran membesarkan anak-anak mereka. Sesi kaunseling khas dan terapi emosi ibu bapa mungkin merupakan antara cadangan yang boleh membantu mereka. Komuniti setempat juga boleh membentuk kumpulan sokongan bagi memberi persekitaran inklusif buat mereka.
Seperti yang kita sedia maklum, kemudahan mesra OKU perlu senantiasa ditambah baik di sekolah dan tempat-tempat awam selain dalam pengangkutan awam di Malaysia. Insentif cukai, elaun penjagaan dan akses kepada terapi mampu milik juga merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan.
Penyelesaian dalam Perspektif Islam
Menurut Agama Islam, anak-anak OKU ini tidak dilihat sebagai beban, malah dianggap sebagai ujian dan amanah yang besar nilainya di sisi Allah. Disebutkan oleh Allah S.W.T dalam Surah at-Taghabun ayat 15 yang bermaksud:
“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu), dan di sisi Allah pahala yang besar.” Dan Allah S.W.T berfirman lagi dalam surah al-Insyirah ayat 6; “Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan.”
Allah menyebut bahawa setiap anak itu adalah ujian dan cabaran buat ibu bapanya, maka dengan penuh pasti ganjaran pahala pasti akan mengiringi. Justeru, ibubapa yang menjaga anak istimewa dengan sabar telah dijanjikan dengan ganjaran yang besar di akhirat kelak.
Seterusnya, umat Islam dituntut agar mempunyai belas kasihan dan menyantuni golongan yang lemah termasuklah anak-anak OKU dan keluarga mereka. Agama Islam menolak sebarang diskriminasi kerana setiap manusia tanpa mengira kemampuan fizikal atau mental selayaknya dihormati dan diperlakukan dengan penuh ihsan.
Perubahan Bermula Dari Hati
Pengalaman membesarkan anak OKU merupakan satu perjuangan dan cabaran yang amat getir untuk diharungi. Namun, dengan sokongan sosial, kefahaman masyarakat dan pegangan agama yang kuat, akan dapat membantu meringankan beban dan tekanan yang ditanggung oleh ibu bapa kepada anak-anak istimewa ini.
Bukan sekadar simpati yang diperlukan daripada masyarakat khususnya komuniti setempat, bukan juga sekadar penguatkuasaan undang-undang atau kempen, tetapi pemahaman dan sokongan moral serta ruang sosial yang amat diperlukan oleh keluarga anak-anak OKU ini untuk terus kuat dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Masyarakat juga seharusnya bersedia bersama-sama membentuk ekosistem yang menyokong antara satu sama lain. Sedarlah bahawa perubahan yang hakiki bermula daripada hati, apabila kita sebagai anggota masyarakat mula melihat anak-anak OKU bukan sebagai beban, tetapi sebagai sebahagian daripada kita yang wajar disantuni dengan penuh kasih sayang dan penghormatan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Zaleha Aminuddin
Aktivis komuniti/Pengerusi
Persatuan Alumni SK Bandar Baru Kuala Selangor