Tujuh lelaki ditahan dalam operasi samseng jalanan

Foto Bernama

JERTIH, 16 Januari – Polis menahan tujuh lelaki berusia 17 hingga 32 tahun dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan 1 hingga 4.30 pagi menumpukan Kampung Padang Luas, Padang Landak dan Lak Lok.
  • Tujuh suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut; pekerjaan mereka termasuk mekanik dan buruh.
  • Polis menyita tujuh motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Pihak polis akan terus adakan operasi serta menasihatkan ibu bapa memantau anak bagi elak samseng jalanan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata tangkapan ke atas penunggang motosikal itu dilakukan selepas pihak polis mengesan mereka melakukan aksi ekstrem di jalan raya.

“Operasi yang bermula 1 hingga 4.30 pagi itu dijalankan dengan menumpukan kawasan Kampung Padang Luas, Padang Landak dan Lak Lok bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.

“Menerusi operasi ini polis berjaya mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi ekstrem di jalan raya tersebut kerana perbuatan mereka bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek yang antaranya bekerja sebagai mekanik dan buruh itu direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Md Sani menambah operasi yang disertai dua pegawai dan 26 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Besut itu turut menyita tujuh motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan oeprasi seumpama itu secara berterusan bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak berlaku lagi dan ia mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

“Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan seumpama ini,” katanya.-BERNAMA