Tiga rumah musnah dalam kebakaran, 29 hilang tempat tinggal

Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 30 minit./ JBPM Sarawak

KUCHING, 12 November – Seramai 29 penghuni termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) hilang tempat tinggal selepas tiga rumah yang didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Tabuan Hilir, Kuching, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bomba tiba di lokasi dalam kira-kira dua minit selepas panggilan kecemasan.
  • Operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran dalam kira-kira 30 minit.
  • Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan; punca dipercayai bermula dari rumah bahagian tengah dan masih disiasat.

Kebakaran kira-kira pukul 7.40 pagi itu turut menyebabkan sebahagian daripada dua lagi rumah berhampiran turut musnah.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Tan Min Chai berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi kejadian dalam tempoh dua minit.

Menurutnya, kebakaran membabitkan rumah jenis kayu itu berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 30 minit.

“Kebakaran dipercayai bermula dari rumah di bahagian tengah, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi RTM di Kuching.

Seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera pemadam kebakaran dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.