Tiga laporan diterima, bekas wartawan ditahan susulan soalan kontroversi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 17 Januari – Polis menerima tiga laporan berhubung seorang bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT) susulan satu soalan kontroversi yang dibangkitkan dalam sebuah wacana awam, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis terima tiga laporan berkaitan soalan kontroversi dibangkitkan dalam wacana awam berkaitan Palestin.
  • Bekas wartawan FMT berusia 30 tahun ditahan tengah malam untuk membantu siasatan oleh USJT Bukit Aman.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
  • PDRM gesa orang ramai berhati-hati dalam kenyataan awam dan ancam tindakan tegas terhadap penghasut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sekitar pukul 12.00 tengah malam tadi bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, tangkapan dan siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kes berkenaan membabitkan satu wacana terbuka yang berlangsung pada 12 Januari lalu, berkaitan isu Palestin, yang didakwa membandingkan keadaan perkauman di Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang dipercayai menimbulkan hasutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat dan siasatan menyeluruh akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada”, katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.