Syarikat, pengarah didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan RM48,249

Mohammad Habibullah Awang, 43, membuat pengakuan tidak bersalah atas 14 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini/ RTM

KEMAMAN, 7 Julai- Sebuah syarikat konsultan dan pekerjaan bersama pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas 14 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan serta penalti berjumlah RM48,249.44.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat dan pengarah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kemaman.
  • Didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti bagi tempoh bercukai 1 Mei 2023 hingga 31 Okt 2024.
  • Kesalahan didakwa dilakukan di Stesen Kemaman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia; syarikat beroperasi di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong.
  • Mahkamah benarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin; serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan 27 Ogos.

Syarikat Teraju MHA Group Sdn Bhd dan pengarahnya, Mohammad Habibullah Awang, 43, membuat pengakuan tidak bersalah selepas masing-masing berdepan tujuh pertuduhan berasingan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM34,463.90 selain penalti sebanyak RM13,785.54 bagi tempoh bercukai antara 1 Mei 2023 hingga 31 Oktober 2024.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen Kemaman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kuala Kemaman.

Syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong itu didakwa mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Jika sabit kesalahan, syarikat terbabit boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mohammad Habibullah turut berdepan pertuduhan dan hukuman sama selaku pengarah syarikat berkenaan.

Pegawai Pendakwa Kastam, Mohmad Khazaiddi Mohd Nor dan Muhd Aizuddin Abdul Ghani memohon mahkamah menetapkan jaminan RM21,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan syarikat kini mengalami penurunan pendapatan selain perlu menanggung pekerja dan tiga anak kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 Ogos depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.