SPRM tahan pengerusi jawatankuasa perumahan badan berkanun disyaki terima rasuah RM1.6 juta

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2025.
  • Suspek didakwa meminta kira-kira RM4,000 daripada setiap 400 pemohon, nilai keseluruhan kira-kira RM1.6 juta.
  • Wang didakwa diseleweng untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa menggunakan invois palsu.

Sumber memaklumkan lelaki lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor pada 7.30 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2025,” katanya.

Sumber berkata suspek dipercayai meminta wang kira-kira RM4,000 daripada setiap 400 pemohon lot tapak rumah melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM1.6 juta.

Wang itu didakwa diseleweng untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa tersebut dengan menggunakan invois palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas proses merakam keterangan selesai.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.