
KAHERAH, 8 Sept – Menteri luar negara-negara Arab menolak sebarang tindakan eskalasi dan serangan Iran yang menyasarkan beberapa negara Arab, selain mengecam serangan serta pelanggaran berterusan Israel di Palestin, Lubnan dan Syria.
- Menteri luar Arab mengutuk serangan Iran terhadap negara Arab dan menolak pencabulan kedaulatan serta keselamatan wilayah.
- Mesir gesa cegah perebakan konflik dan mengembalikan diplomasi untuk penyaheskalan serta menangani punca ketegangan.
- Tekanan untuk teruskan gencatan senjata Gaza, akses bantuan menyeluruh, pemulihan serta perkasakan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza.
Ketegasan itu dinyatakan pada sesi ke-166 Majlis Liga Arab di peringkat menteri luar yang berlangsung di ibu pejabat pertubuhan pan-Arab itu di Kaherah, pada Isnin.
Mesyuarat yang dipengerusikan Tunisia dan diwakili Menteri Luarnya, Mohamed Ali Nafti, turut membincangkan perkembangan serantau, khususnya peningkatan ketegangan melibatkan Iran serta serangan Israel di beberapa kawasan konflik.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, berkata Kaherah “mengutuk sekeras-kerasnya” serangan Iran yang menyasarkan negara-negara Arab dan menolak sebarang pencabulan terhadap kedaulatan, keselamatan serta keutuhan wilayah negara Arab.
Beliau turut menegaskan keperluan menghalang konflik daripada merebak serta menggesa usaha diplomatik dipulihkan bagi menangani punca ketegangan dan meredakan keadaan.
“Konfrontasi ini tidak boleh dibiarkan berkembang dan jalan diplomasi perlu dikembalikan bagi menangani punca ketegangan serta mencapai penyaheskalasian,” katanya.
Abdelatty turut menggesa supaya memorandum persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada Jun dimanfaatkan sebagai asas untuk mencapai perjanjian muktamad dan berkekalan.
Mengenai Palestin, beliau berkata perkembangan pesat di rantau itu tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Beliau mengulangi pendirian Mesir menolak sebarang usaha untuk memindahkan penduduk Palestin, pendudukan, pengilhakan wilayah serta percubaan untuk menghapuskan perjuangan rakyat Palestin.
Menurutnya, Mesir akan meneruskan usaha memperkukuh gencatan senjata di Gaza, melaksanakan persefahaman Sharm el-Sheikh dan melengkapkan pelan hala tuju ke fasa kedua pelan damai Gaza yang dikemukakan Presiden AS, Donald Trump, termasuk pengunduran Israel dari wilayah itu.
Beliau turut menggesa akses bantuan kemanusiaan secara menyeluruh dan berterusan, sokongan terhadap pemulihan awal serta pembinaan semula, selain memperkasakan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza sebagai langkah ke arah pemulihan tanggungjawab Pihak Berkuasa Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Fahmy, turut menghadiri mesyuarat berkenaan, yang merupakan penyertaan pertamanya dalam sesi peringkat menteri luar sejak memegang jawatan itu.
Sesi berkenaan menghimpunkan menteri luar negara anggota Liga Arab bagi menyelaras pendirian mengenai perkembangan politik dan keselamatan serantau ketika konflik AS-Iran dan operasi ketenteraan Israel di rantau berkenaan masih berterusan. – REUTERS