SAR tamat: kanak-kanak enam tahun ditemukan lemas

Operasi mencari dan menyelamat menemukan jasad kanak-kanak enam tahun terapung di Sungai Daro, selepas dilaporkan hilang sejak semalam.

DARO, 2 Januari – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang semalam dan dipercayai terjatuh ke Sungai Daro ditemukan meninggal dunia petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jasad kanak-kanak enam tahun ditemukan terapung berhampiran Kampung Lemang Pek kira-kira pukul 4 petang.
  • Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
  • Operasi SAR melibatkan 68 anggota gabungan agensi dan penduduk kampung sejak semalam.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan, jasad kanak-kanak itu ditemukan terapung kira-kira pukul 4 petang berhampiran Kampung Lemang Pek di sini.

Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Semalam, kanak-kanak itu dilaporkan hilang pukul 2.28 petang setelah keluar sendiri dari rumah mereka di Kampung Panchor tanpa disedari ibu bapanya.

Pencarian awal oleh bapanya menemui kesan tapak kaki kanak-kanak itu menuju ke sungai.

Operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak semalam, melibatkan 68 anggota gabungan pelbagai agensi serta penduduk kampung.