
GERIK, 7 September – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kehilangan enam individu yang menyertai aktiviti pendakian Gunung Trans GBB.
- Orang yang mempunyai maklumat diminta segera menyalurkannya kepada polis untuk membantu usaha pencarian.
- Kumpulan: empat lelaki berumur 39 hingga 49 tahun dan dua kanak-kanak berumur sembilan dan 13 tahun.
- Mereka memulakan pendakian 29 Ogos dari Pos Dakoh, Gua Musang, Kelantan, dijangka keluar melalui Pos Kemar, Perak pada 3 September.
- Operasi SAR diketuai Ketua Polis Daerah Gerik dengan penglibatan PDRM, JBPM, APM, Jabatan Perhutanan, Perhilitan, Pejabat Tanah dan Malim Gunung.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan kumpulan berkenaan diminta segera menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha pencarian.
“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menjejaskan kelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada empat lelaki berusia 39 hingga 49 tahun serta dua kanak-kanak berusia sembilan dan 13 tahun.
Mereka memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu dari kawasan Pos Dakoh, Gua Musang, Kelantan dan dijangka keluar melalui Pos Kemar, Perak pada 3 September.
Komunikasi terakhir dengan ahli keluarga adalah pada 1 September, kira-kira 7.47 pagi, yang memaklumkan mereka berada dalam keadaan baik dan sedang bergerak menuju ke Perak.
Sehingga 6 September, ahli keluarga masih belum menerima khabar berita sebelum laporan polis dibuat kerana bimbang keselamatan mereka.
Operasi SAR diketuai Ketua Polis Daerah Gerik selaku Komander Operasi dengan penglibatan PDRM, JBPM, APM, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan, Pejabat Tanah serta Malim Gunung Perak.