
MARAN, 7 September – Enam pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) masih menerima rawatan dan pemantauan perubatan di dua hospital selepas mengalami insiden berkaitan haba ketika menyertai acara mara lasak di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Jumaat lalu.
- Seorang peserta, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di ICU.
- Sembilan peserta mengalami sesak nafas semasa acara mara lasak sejauh 10 kilometer.
- Liya Zafirah Muhammad masih ditempatkan di ICU HoSHAS, dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dua pelajar kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, manakala empat lagi menerima rawatan di Hospital Jengka.
Menurutnya, seorang pelajar, Liya Zafirah Muhammad dari UiTM Cawangan Perak, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HoSHAS, namun berada dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.
Seorang lagi pelajar yang dirawat di Wad Kenanga 12, hospital sama, dijangka dibenarkan pulang hari ini.
Sementara itu, empat pelajar lain masih dipantau di Hospital Jengka, manakala dua lagi telah dibenarkan pulang.
Dalam kejadian Jumaat lalu, sembilan peserta dilaporkan mengalami sesak nafas ketika menyertai acara mara lasak sejauh 10 kilometer di kampus berkenaan.
Seorang peserta, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, kemudian dirujuk ke HoSHAS sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di ICU, Sabtu lalu.