Penganggur ditahan disyaki rogol gadis bawah umur

Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd Haide A. Rahman

BAU, 10 Mac – Polis menahan seorang lelaki penganggur kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur di Kampung Kranji, di sini, Sarawak pada November tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa 16 tahun disahkan hamil tiga bulan susulan kejadian.
  • Perkara terbongkar selepas ibu membawa mangsa ke klinik akibat muntah dan demam.
  • Suspek berusia 21 tahun ditahan di rumahnya di Bau bagi membantu siasatan.
  • Suspek mengaku melakukan perbuatan seksual pada November selepas berkenalan melalui media sosial; kes disiasat di bawah Seksyen 14(a).

Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa yang berusia 16 tahun kini disahkan hamil tiga bulan susulan kejadian tersebut.

Beliau berkata, perkara itu terbongkar selepas ibu mangsa membawa remaja berkenaan ke sebuah klinik untuk mendapatkan pemeriksaan kerana mengalami muntah dan demam.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan hamil sebelum ibunya membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi media di Kuching malam tadi.

Menurut beliau, suspek berusia 21 tahun kemudian diberkas di rumahnya di Bau bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa pada November tahun lalu di rumahnya selepas kedua-duanya berkenalan melalui media sosial.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Keseksaan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.