
LAHAD DATU, 5 April — Dua lelaki tempatan ditahan manakala 1,000 liter minyak diesel dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam operasi Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di daerah ini, awal pagi tadi.
- Dua kenderaan pacuan empat roda dirampas, nilai keseluruhan dianggarkan RM117,150.
- Operasi bermula kira-kira pukul 12 tengah malam dengan penglibatan empat anggota penguat kuasa.
- Pemeriksaan mendapati suspek mengisi diesel ke dalam tong dram tanpa mengemukakan dokumen atau permit kebenaran.
- Pemeriksaan bersepadu di Beaufort tiada pelanggaran; operasi tumpu pematuhan RON95, pengurusan stok dan had kuantiti jualan.
KPDN turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM117,150.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Lahad Datu, Azizul Amran berkata operasi bermula kira-kira pukul 12 tengah malam dengan penglibatan empat anggota penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu sedang mengisi diesel ke dalam tong dram yang diletakkan di atas kenderaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran bagi pengisian diesel tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu di Beaufort, katanya, tiada sebarang pelanggaran peraturan dikesan dalam pemeriksaan bersepadu yang dijalankan KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas beberapa stesen minyak.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Julie Julhani berkata operasi itu memberi tumpuan kepada pematuhan syarat penjualan RON95 kepada warganegara Malaysia serta pengurusan stok bahan api.
Katanya, pemeriksaan turut melibatkan pemantauan had kuantiti penjualan mengikut kategori kenderaan serta pengesanan kenderaan mencurigakan yang berpotensi terlibat dalam penyelewengan diesel.