
GUA MUSANG, 18 Mei – Seorang penolong pengurus ladang didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senapang angin tanpa permit di Ladang Sungai Relai, Gua Musang, Jumaat lalu.
- Memiliki senapang angin hitam jenama Gamo tanpa permit di kuarters Ladang Sungai Relai pada 15 Mei kira-kira 12.45 pagi.
- Membeli senapang secara dalam talian awal 2019 pada harga RM2,000 untuk kegunaan peribadi melindungi rumah daripada haiwan liar.
- Didakwa mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960; hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh, Muhammad Azrul Adzahar, 40 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki senapang angin berwarna hitam jenama Gamo tanpa sebarang permit atau lesen yang sah di kuarters Ladang Sungai Relai kira-kira pukul 12.45 tengah malam pada 15 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh membeli senapang tersebut secara dalam
talian pada harga RM2,000 pada awal 2019 untuk kegunaan peribadi dan digunakan di sekitar rumah yang terletak di kawasan ladang kerana kerap
didatangi haiwan liar.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Firdaus Abdul Hamid.
Terdahulu, Muhammad Azrul dalam rayuannya memohon hukuman denda dikurangkan kerana dia sedang melanjutkan pelajaran.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan tertuduh membayar denda berkenaan.