
KOTA BHARU, 18 Mei – Sebanyak 375 kes membabitkan barangan kontraban direkodkan di Kelantan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, dengan nilai rampasan melebihi RM10 juta.
- Polis mempertingkat operasi dan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang penyeludupan dan kemasukan PATI.
- Risikan mendapati sindiket beralih guna laluan persisir pantai selepas sempadan Sungai Golok ditutup.
- Polis buat 212 tangkapan, tahan 102 PATI dan 47 transporter; 135 kes barangan bersubsidi dirampas.
- Amaran tegas kepada anggota polis: jangan bersekongkol dengan sindiket, rasuah atau bocorkan maklumat sulit.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 212 tangkapan turut dilakukan.
Menurut beliau, polis turut merekodkan 135 kes melibatkan barangan bersubsidi dengan nilai rampasan melebihi RM200,000, selain menahan 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 47 transporter.
Katanya, polis kini mempertingkat operasi dan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Hasil risikan mendapati sindiket kini beralih menggunakan laluan persisir pantai bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
“Alhamdulillah, apabila sempadan Sungai Golok ditutup, kes menunjukkan penurunan. Namun, sindiket beralih ke laluan lain. Sehubungan itu, saya menekankan kepada semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), termasuk Pasir Puteh dan Bachok, untuk mempertingkatkan risikan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran tegas kepada seluruh warga polis negeri agar tidak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan atau terlibat dalam rasuah serta pembocoran maklumat sulit.