
CYBERJAYA, 3 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap 17 individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik di platform media sosial.
- Beberapa rakaman percakapan telah selesai; termasuk kes berkaitan hantaran palsu tentang bahan api dan tarif elektrik.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun.
- MCMC menegaskan penyalahgunaan media sosial yang mengelirukan boleh mencetuskan panik; tindakan tegas akan diambil terhadap pelanggar undang-undang.
Menurut kenyataan MCMC, setakat ini sebanyak lapan rakaman percakapan terhadap suspek telah selesai dijalankan, termasuk lima kes melibatkan hantaran palsu berhubung isu kenaikan harga bahan api.
“Daripada lima kes tersebut, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi telah selesai dirakam percakapan.
“Terdapat tiga kes lagi, iaitu berkaitan tarif baharu elektrik. Baki seramai sembilan lagi suspek sedang dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
Tindakan tersebut boleh mencetuskan panik dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat, justeru tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sedia ada.