Lima tekong warga Indonesia dicekup

Lima tekong warga Indonesia ditahan.

MELAKA, 13 Mac – Lima tekong warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dalam dua serbuan berasingan semalam selepas dipercayai cuba membawa masuk dan keluar 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan laut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi khas sempena Aidilfitri dijalankan menerusi Op Taring Gelora dan Op Taring Landai di sekitar Pulau Upeh.
  • Polis merampas bot dan wang tunai dalam ringgit serta rupiah, nilai keseluruhan melebihi RM127,000.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan operasi khas sempena Aidilfitri itu dilaksanakan menerusi Op Taring Gelora dan Op Taring Landai di sekitar Pulau Upeh.

Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk bot serta wang tunai dalam mata wang rupiah Indonesia dan ringgit dengan nilai keseluruhan melebihi RM127,000.

Menurut beliau, menerui Op Taring Gelora, lapan PATI termasuk dua tekong ditahan selepas disyaki cuba memasuki negara ini secara haram dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang.

Hasil siasatan mendapati tekong warga Indonesia itu aktif menjalankan kegiatan penyeludupan sejak awal Ramadan dan dipercayai diketuai seorang lelaki yang menetap di Kampung Sukajadi, Dumai, Indonesia.

Sementara itu, Op Taring Landai pula berjaya menggagalkan cubaan membawa keluar 15 PATI secara haram ke Dumai.

Siasatan awal mendapati kesemua PATI terbabit dibawa menaiki pelbagai kenderaan sebelum ditinggalkan di pesisiran pantai bagi menunggu tekong laut, dengan bayaran sehingga RM1,700 kepada ejen berbeza.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar masuk negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.