
PASIR MAS, 26 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 1,250 kilogram (kg) beras pelbagai gred super import dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM5,000 dalam Op Taring Wawasan di Kampung Kaloi, Jeram Perdah, pagi Sabtu.
- Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
- Anggota PGA menemui guni beras di tempat duduk belakang dan bonet kenderaan semasa pemeriksaan.
- Beras dipercayai diseludup dari Thailand melalui laluan tidak sah, dikawal oleh kontak tempatan dan warga Thailand.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994; rampasan diserahkan kepada pihak berkuasa Negeri Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata anggota PGA yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tebing sungai Kampung Kaloi sebelum bertindak menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan guni-guni berisi beras pelbagai gred super import di bahagian tempat duduk belakang dan bonet kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati beras itu dipercayai diseludup dari Thailand melalui laluan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Radzi berkata suspek dipercayai menerima arahan daripada seorang individu tempatan untuk mengambil bekalan beras di tebing sungai Kampung Kaloi sebelum menghantarnya ke Pasar Wakaf Bharu, Kota Bharu.
Beliau berkata suspek turut dipercayai berhubung dengan seorang lelaki warga Thailand bagi mendapatkan bekalan beras yang dibawa masuk melalui pangkalan haram sejak awal tahun 2024.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
Manakala rampasan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.