
GEORGE TOWN, 18 Julai – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 10 Jun lepas, disahkan telah meninggal dunia.
- Mayat dikenal pasti sebagai Shahir Zainul, 46; meninggal akibat sindrom koronari akut pada 11 Jun ketika dirawat di Jabatan Forensik HPP.
- Polis bersama JBPM menjalankan operasi SAR di kawasan Jabatan Pertanian, Lebuh Bukit Jambul selepas motosikal ditemui; operasi ditamatkan tanpa petunjuk baru.
- Polis menasihati orang ramai jangan spekulasi atau sebar maklumat tidak sahih; mangsa dilihat terakhir keluar rumah di Persiaran Mayang Pasir 2 kira-kira 5 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata Shahir Zainul, 46, dilaporkan meninggal dunia pada 11 Jun lepas, iaitu sehari selepas kehilangannya dan mayatnya telah dikenal pasti oleh ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.
“Hasil siasatan mendapati HPP sebelum ini telah mengeluarkan hebahan berhubung mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
“Susulan pengecaman oleh ahli keluarga, identiti mangsa disahkan sebagai Shahir Zainul yang meninggal dunia akibat sindrom koronari akut pada 11 Jun ketika menerima rawatan di HPP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Jabatan Pertanian, Lebuh Bukit Jambul selepas motosikal mangsa ditemukan di lokasi berkenaan.
ACP Anuwal memaklumkan operasi, bagaimanapun ditamatkan pada hari sama selepas hasil pencarian negatif dan tiada petunjuk baharu ditemukan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Shahir dilihat kali terakhir selepas keluar dari rumah di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru pada kira-kira 5 pagi dengan menunggang motosikal.
Laporan kehilangan dibuat oleh ibu mangsa pada 12 Jun mendakwa anaknya tidak pulang ke rumah selama dua hari selepas berlaku perselisihan faham antara mereka. – BERNAMA