
IPOH, 18 Julai – Satu sindiket pusat panggilan penipuan atas talian atau love scam berjaya ditumpaskan polis dalam dua serbuan di Taman Ipoh Selatan dan Medan Pengkalan, di sini pada 16 Julai lalu.
- 12 lelaki warga China berusia 25 hingga 40 tahun ditahan.
- Sindiket mula beroperasi sejak Jun, guna Telegram dan WeChat untuk perdaya mangsa sertai pelaburan dan urus niaga dalam talian.
- Polis merampas 158 telefon bimbit, enam komputer riba, 15 kad SIM, peralatan lain; nilai rampasan dianggarkan RM34,500.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen; suspek direman tiga hari hingga 19 Julai.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata seramai 12 lelaki warga China berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan.
“Siasatan awal mendapati sindiket yang mula beroperasi sejak Jun lalu menyasarkan mangsa dari China dengan menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat untuk memperdaya mangsa menyertai pelaburan serta urusan jual beli dalam talian,” katanya.
Dalam operasi berkenaan polis turut merampas 158 telefon bimbit, enam komputer riba, enam tetikus, lima router WiFi, skrip perbualan, 15 kad SIM, tiga USB charge station dan tiga penyambung wayar dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM34,500.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Suspek kini direman selama tiga hari hingga 19 Julai bagi membantu siasatan.