Lapan individu mengaku tidak bersalah miliki dadah jenis ketamin, ekstasi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Seramai lapan individu termasuk warga asing mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi dalam operasi di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, awal pagi Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
  • Mereka didakwa memiliki ketamin 1.5 gram dan MDMA 0.7 gram bersama di bilik hotel mewah, 24 Mei, pukul 4.00 pagi.
  • Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan hukuman berat.
  • Dua tertuduh diikat jamin RM6,000 seorang; baki tidak dibenarkan ikat jamin; sebutan semula dan serahan dokumen ditetapkan 27 Ogos.

Pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Dua tertuduh iaitu Ivan Wong Yi Xian, 24 dan Chong King Jun, 36, merupakan warga tempatan manakala Jensen Soh Kah Yi, 34 dan Yeo Wei Seng, 37 merupakan warga Singapura, Lam Hoi Leung, 30 (Hong Kong); Hendry Gunawan, 28 (Indonesia), Tang Waei, 41 (China) dan Tran Quang Ha, 26 (Vietnam).

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah didapati memiliki dadah berbahaya iaitu ketamin 1.5 gram di sebuah bilik hotel mewah di Brickfields pada pukul 4.00 pagi, 24 Mei lalu.

Pertuduhan kedua pula, kesemua lelaki itu dengan niat bersama telah didapati memiliki dadah berbahaya MDMA 0.7 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Yong Jei Bing dan Roshvinder Singh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Nurul Izzah hanya membenarkan Yi Xian dan King Jun diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala kesemua tertuduh lain tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan seramai 51 lelaki dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral dan penyalahgunaan dadah menerusi beberapa siri operasi di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, hujung minggu lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.