
BUKIT MERTAJAM, 27 Februari – Sebuah kilang memproses sisa plastik tanpa kelulusan diserbu menerusi Op Taring Alpha 5 di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada 24 Februari lalu, dengan rampasan bernilai lebih RM2.4 juta.
- Serbuan kilang pemprosesan sisa plastik tanpa kelulusan di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada 24 Februari.
- Rampasan bernilai lebih RM2.4 juta termasuk mesin, 120 guni plastik belum diproses dan 100 guni bijian siap diproses.
- Seorang lelaki ditahan; kes disiasat di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan hukuman denda atau penjara.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata, rampasan melibatkan pelbagai jenis mesin serta 120 guni plastik belum diproses dan 100 guni bijian plastik siap diproses.
Menurut beliau, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai pemilik premis berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis itu dijadikan lokasi pemprosesan material plastik kitar semula dan telah beroperasi sejak awal 2025.
Bekalan sisa plastik dipercayai diperoleh daripada kilang-kilang semikonduktor di sekitar premis.
Antara mesin yang dirampas ialah mesin mencuci dan mesin penyemperit yang digunakan untuk memproses bahan plastik serta bijian plastik sebelum dihantar ke kilang berhampiran bagi menghasilkan produk berasaskan plastik.
Kes diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang dan disiasat di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.