KDN arah siasatan menyeluruh insiden anggota polis ditetak warga asing di Kepong

Tangkap layar video awam memaparkan kejadian warga asing menyerang pihak polis, sebelum suspek ditembak dan disahkan mati dalam kejadian di Desa Amanpuri, Kepong malam tadi.

KUALA LUMPUR, 12 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang susulan insiden serangan seorang warga asing terhadap anggota polis sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus di Desa Amanpuri, Kepong, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Dalam Negeri mengutuk tindakan ganas terhadap penguat kuasa dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima.
  • Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan; keselamatan rakyat dan anggota adalah keutamaan.
  • Suspek ditembak dan disahkan meninggal dunia; anggota polis yang cedera dilaporkan stabil dan menjalani pembedahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kejadian itu dan menyifatkan perbuatan ganas terhadap anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Beliau menegaskan, keselamatan rakyat dan anggota penguat kuasa merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi, manakala tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang individu.

“Saya telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang susulan insiden serangan oleh seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong malam tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Seri Saifuddin turut mengingatkan masyarakat termasuk warga asing supaya sentiasa menghormati undang-undang negara dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Katanya, sebarang ketidakpuasan hati tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak ganas atau menghalang tugas penguatkuasaan.

Beliau turut mendoakan kesembuhan segera anggota polis yang cedera selain merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM atas keberanian dan dedikasi mereka dalam menjaga keselamatan negara.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan suspek meninggal dunia selepas ditembak polis ketika cuba menyerang anggota menggunakan parang berhampiran sebuah taman permainan di Desa Amanpuri.

Menurutnya, kejadian bermula apabila polis menerima maklumat orang awam kira-kira pukul 4 petang mengenai seorang lelaki dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan berkemungkinan mengamuk di sebuah pangsapuri.

Sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian dikerahkan ke lokasi.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 7 malam, suspek meluru keluar dari kediamannya dengan bersenjatakan dua bilah parang sebelum menyerang pasukan keselamatan yang berada di hadapan pintu.

Serangan itu menyebabkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah sehingga pergelangan tangan kanannya putus, selain kecederaan pada kepala dan badan.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan berhampiran sebuah taman permainan antara pukul 7.30 hingga 8 malam dan sekali lagi bertindak menyerang anggota polis.

“Dalam usaha mempertahankan diri dan membuat tahanan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek,” kata Datuk Shazeli pada sidang media di Hospital Selayang malam tadi.

Suspek yang cedera akibat tembakan itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

Sementara itu, anggota polis yang cedera dilaporkan stabil dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti sebenar suspek.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.