Ejen hartanah direman tujuh hari kes tikam leher wanita

Suspek berusia 32 tahun ditahan polis kurang lima jam selepas menikam leher seorang wanita di hadapan sebuah restoran di Kepala Batas malam tadi/ RTM

ALOR SETAR, 18 Mei- Seorang ejen hartanah direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tikam leher seorang wanita di hadapan sebuah restoran bistro di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di sini pada malam Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek ditahan kurang lima jam selepas insiden, diberkas di kawasan masjid Taman Uda kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian pada 1.50 pagi.
  • Mangsa berumur 35 tahun dipercayai ditikam selepas pertengkaran semasa di dalam keretanya; mangsa bekerja sebagai jurutaip pejabat tanah.
  • Mangsa mengalami kecederaan di leher sebelah kanan; suspek dilaporkan melarikan diri selepas kejadian.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan; motif masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak berspekulasi.

Perintah reman terhada lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Terdahulu, suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan dalam tempoh kurang lima jam selepas insiden dan diberkas di kawasan masjid Taman Uda, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 1.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata mangsa berusia 35 tahun dipercayai cedera selepas ditikam di dalam kereta miliknya selepas berlaku pertengkaran dengan suspek.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai jurutaip di sebuah pejabat tanah berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk hadapan sebelah penumpang.

Mangsa dipercayai ditikam di bahagian leher sebelah kanan sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Syed Basri berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.