Urusan hartanah disyaki punca wanita ditikam – Polis

(Kiri) Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk permohonan reman pagi tadi untuk siasatan kes tikam seorang wanita dalam kereta malam tadi (kanan)

ALOR SETAR, 18 Mei- Perselisihan faham berkaitan urusan perniagaan hartanah dipercayai menjadi punca seorang wanita cedera ditikam di bahagian leher oleh seorang kenalan lelaki yang juga ejen hartanah di hadapan sebuah restoran bistro di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di sini pada malam Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklumat awal diperoleh daripada pengakuan suspek; siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.
  • Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.
  • Mangsa cedera ditikam di bahagian leher dalam kereta; menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, dilaporkan stabil.
  • Suspek ditahan kurang lima jam kemudian dan direman tujuh hari; kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata maklumat awal itu diperoleh berdasarkan pengakuan suspek, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.19 malam itu, mangsa berusia 35 tahun ditemukan cedera di bahagian leher sebelah kanan akibat ditikam menggunakan senjata di dalam kereta miliknya.

Mangsa yang bekerja sebagai jurutaip di sebuah pejabat tanah di Alor Setar berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk hadapan sebelah penumpang sebelum dipercayai berlaku pertengkaran.

Suspek berusia 32 tahun itu kemudian ditahan dalam tempoh kurang lima jam selepas kejadian di kawasan masjid Taman Uda, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 1.50 pagi.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.