Ejen hartanah ditahan kes tikam wanita di Kepala Batas

Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek dalam sebuah kenderaan sebelum mangsa ditikam

ALOR SETAR, 18 Mei- Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tikam seorang wanita di hadapan sebuah restoran bistro di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas dekat sini, dalam tempoh kurang lima jam selepas kejadian pada malam Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek, 32, ejen hartanah, ditahan di kawasan masjid Taman Uda kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian
  • Mangsa, 35, jurutaip surat menyurat, dipercayai ditikam di leher kanan ketika berada dalam keretanya bersama suspek
  • Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa di tempat pemandu dan suspek di tempat penumpang sebelum tikaman
  • Mangsa dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah dalam keadaan stabil; motif masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 326

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai ejen hartanah itu ditahan di kawasan masjid Taman Uda, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 1.50 pagi tadi.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.19 malam, mangsa berusia 35 tahun yang bekerja sebagai jurutaip surat menyurat di sebuah pejabat tanah di Alor Setar dipercayai ditikam di bahagian leher kanan ketika berada di dalam kereta miliknya bersama suspek.

Syed Basri berkata siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dan suspek yang duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang sebelum lelaki itu dipercayai bertindak menikam mangsa menggunakan senjata.

Suspek kemudian melarikan diri sejurus selepas kejadian, manakala mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut Syed Basri, motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.