
CYBERJAYA, 8 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka sebanyak 36 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu di media sosial dan media digital melibatkan krisis tenaga global.
- 22 individu dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan penyebaran berita palsu.
- Enam kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara dua tahun.
- MCMC menegaskan tindakan tegas dan mengingatkan orang ramai agar bertanggungjawab menggunakan platform digital bagi menjaga keharmonian dan ketenteraman awam.
MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Manakala sebanyak enam (6) kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian dan tindakan selanjutnya”, menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.