12 warga Filipina termasuk enam kanak-kanak ditahan di Labuan

Foto JIM Labuan

LABUAN, 12 November- Seramai 12 warga Filipina termasuk enam kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan dalam Op Sapu yang dijalankan di lima premis sekitar bandar Labuan dan sebuah kawasan penempatan, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dari 11.00 malam hingga 1.30 pagi melibatkan 15 pegawai imigresen dan pemeriksaan terhadap 84 individu.
  • Sebahagian ditahan disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
  • Dua borang IMM.29 dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu proses siasatan.
  • JIM Labuan akan mempergiat penguatkuasaan dan menyeru orang ramai memberi maklumat melalui saluran rasmi.

Dalam kenyataan JIM Labuan, operasi yang berlangsung dari 11.00 malam hingga 1.30 pagi itu membabitkan 15 pegawai imigresen dengan pemeriksaan terhadap 84 individu.

Daripada jumlah itu, 51 merupakan warganegara Malaysia, 31 warga Filipina dan dua warga Indonesia.

Kesemua 12 warga Filipina yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki, lima wanita, empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Sebanyak dua (2) Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JIM Labuan, operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi membanteras keberadaan warga asing tanpa dokumen, pas atau permit yang sah.

“JIM Labuan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang imigresen negara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai turut diseru supaya memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen melalui saluran rasmi jabatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.