KOTA KINABALU, 30 September - Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa Zara Qairina Mahathir tidak pernah menjerit atau menangis sebelum pelajar tingkatan satu itu bertemu dengan pelajar senior susulan insiden kecurian di asrama pada 15 Julai lepas.
Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada remaja terbabit dalam kes buli Zara Qairina, berkata saksi memaklumkan bahawa remaja itu kelihatan seperti agak terganggu selepas berjumpa dengan pelajar senior dan berbaring di lantai sambil menangis di depan almari.
Berkongsi keterangan saksi kelapan kanak-kanak itu selepas prosiding inkues, Ram Singh berkata remaja tersebut memaklumkan bahawa Zara Qairina juga ada berteriak sambil menafikan bahawa dia mencuri.
"Kata saksi, dia tidak tahu bagaimana kejadian Zara Qairina berjumpa dengan pelajar senior kerana tidak pergi ke bilik berkenaan dan saksi juga memberitahu pelajar senior tersebut tidak pernah berjumpa Zara Qairina sebelum itu," katanya.
Berkongsi lanjut keterangan saksi berkenaan, Ram Singh berkata remaja itu juga memaklumkan bahawa Zara Qairina tidak pernah mengadu tentang masalah persendirian atau berkonflik dengan sesiapa atau gangguan yang dihadapinya semasa di asrama seperti buli, tekanan belajar dan keletihan.
Peguam itu berkata saksi tidak pasti sama ada Zara Qairina mempunyai konflik dengan pelajar lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar dan dia juga tidak pernah melihat Zara Qairina dimarahi atau diganggu oleh pelajar lain.
"Saksi juga memberitahu tidak pernah nampak mana-mana pelajar meraba atau melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zara Qairina di bilik asrama atau sekolah," katanya.
Ram Singh berkata saksi itu turut memaklumkan mahkamah bahawa Zara Qairina pernah bertanya kepadanya sama ada dia akan berasa sedih jika remaja tersebut terjun dari tingkat tiga.
"Kata saksi pada masa itu, mereka berdua berada di hadapan bilik dan Zara Qairina melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung… menurut saksi, kejadian itu berlaku sekitar April 2025," katanya.
Sementara itu, peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Allahyarham ketika berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ketujuh pula berkata saksi memaklumkan pada malam 15 Julai, Zara Qairina mengetuk pintu bilik dan memberi salam meminta izin masuk untuk berjumpa seorang pelajar mengenai kes kecurian dan dia kelihatan dalam keadaan takut.
Rizwandean berkata saksi itu memaklumkan bahawa empat pelajar lain masuk ke dalam bilik tersebut dan seorang daripada mereka memarahi Zara Qairina dengan nada kuat sambil berteriak menggunakan kata-kata kesat.
"Menurut saksi, pelajar-pelajar yang memarahi Zara Qairina pada masa itu adalah garang dan pelajar lain yang berada di bilik tersebut tidak berani menenangkan Zara Qairina yang menangis," katanya.
Beliau juga berkata saksi turut memaklumkan bahawa rakan bilik Zara Qairina telah memeriksa loker remaja itu dan menjumpai pin bendera milik seorang pelajar yang menyebabkan pelajar terbabit sangat marah.
Peguam itu berkata saksi juga memaklumkan mahkamah bahawa Zara Qairina adalah seorang pelajar yang ceria, suka bercakap serta sering menegur pelajar lain secara baik selain menyimpan hasrat untuk menjadi ahli Badan Dakwah dan Rohani (BADAR).
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran dengan asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
Setakat ini, 16 saksi termasuk lapan kanak-kanak telah memberi keterangan.
Prosiding inkues bersambung Selasa depan. - BERNAMA