ALOR SETAR, 1 Oktober - Hasrat seorang pemuda memperagakan kereta mewah jenis Mercedes Benz GLC 300 Coupe dengan nombor pendaftaran satu angka membawa padah apabila kenderaannya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran berkenaan sebenarnya berdaftar pada sebuah motosikal.
“Pemandu berusia 38 tahun itu mengakui nombor pendaftaran asal kenderaan adalah dua angka. JPJ memandang serius kesalahan ini kerana boleh menimbulkan implikasi, antaranya menyukarkan pengesanan identiti kenderaan sekiranya terlibat dalam kemalangan atau jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kesalahan itu boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, saman telah dikeluarkan dan kenderaan berkenaan disita untuk siasatan lanjut di Depoh Sita JPJ Negeri Kedah.