SUNGAI PETANI, 1 Oktober - Seorang pekerja kilang ditahan selepas disyaki melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.
Kejadian berlaku di kawasan hutan di Kampung Serukam, Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa bersama tiga rakannya berada di kawasan Bukit Bintang Ramlee, dekat sini.
Mangsa didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal dan memberitahu untuk memberi basikal secara percuma.
Mangsa bersama suspek kemudiannya pergi ke sebuah rumah di Taman Sri Astana dan kembali semula ke Bukit Bintang Ramlee dengan sebuah basikal.
“Suspek sekali lagi mengajak mangsa mengambil sebuah lagi basikal yang lain.
"Bagaimanapun mangsa dibawa ke kawasan hutan di Kampung Serukam dan suspek memaksa mangsa memegang alat sulit suspek," katanya menerusi satu kenyataan.
Bertindak atas aduan, suspek berusia 46 tahun itu berjaya diberkas di suatu lokasi di Sungai Petani, malam tadi.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani hari ini untuk permohonan reman.
Kes disiasat bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.