KUCHING, 1 Oktober - Seramai 63 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuching dalam operasi bersepadu Op Jaja, Selera, Sapu yang dijalankan selama dua hari berakhir semalam.
Operasi berkenaan melibatkan 29 pegawai penguat kuasa dan dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar bandar raya Kuching termasuk Matang, MJC Batu Kawa dan Bau.
Menurut kenyataan Imigresen Sarawak, semua individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, antaranya Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l).
"Kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan Jabatan Imigresen Malaysia membanteras kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi," menurut kenyataan tersebut.
Jabatan Imigresen turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa bagi membantu memelihara keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.