fb fb fb fb fb

Sembilan PATI ditahan dalam operasi imigresen Johor

Foto FB JIM Johor

JOHOR BAHRU, 1 Oktober – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di beberapa premis perniagaan sekitar bandar raya itu, semalam.

Pengarah JIM Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi bermula pukul 1 tengah hari itu hasil maklumat awam serta risikan selama dua minggu di bengkel kenderaan, premis perniagaan dan kedai makanan.

“Daripada jumlah yang ditahan, empat lelaki warga India, dua lelaki Pakistan, seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki Indonesia dan seorang wanita Myanmar,” katanya menerusi kenyataan.

Kesemua mereka berusia antara 22 hingga 66 tahun dan dipercayai bekerja di premis berkenaan.

0110 JHR PATI TAHAN 2Foto FB JIM Johor

Mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Sepanjang operasi itu, satu Borang 29 (saman saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

JIM Johor dalam kenyataan menegaskan pihaknya akan terus mengesan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal serta bekerja di negara ini.

“Selaras aspirasi MADANI, jabatan ini tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan serta permit kerja sah,” tegas kenyataan itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN