IPOH, 30 September- Seorang bekas pengarah jualan kerugian lebih RM1.85 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan saham tidak wujud melalui aplikasi TikTok.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, laporan mengenai kejadian diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
Beliau berkata, pada Julai lalu, mangsa berusia 50 tahun melihat iklan pelaburan saham di TikTok sebelum menghubungi nombor telefon yang diberikan melalui WhatsApp.
Mangsa kemudian melakukan 23 transaksi bayaran berjumlah RM1,855,100 ke tiga akaun bank berbeza.
Mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang pelaburan yang ditawarkan melalui laman web atau aplikasi tidak sah, tidak berdaftar atau tidak dikawal selia pihak berkuasa.
Noor Hisam juga menasihatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang syarikat pelaburan dengan pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).