KUALA TERENGGANU, 30 September- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu melaksanakan Pelupusan Eksibit Perdana 2025 melibatkan pelbagai barangan rampasan bernilai lebih RM205,000 bagi memastikan eksibit yang telah selesai prosiding mahkamah atau tindakan kompaun tidak kembali ke pasaran.
Antara barangan yang dilupuskan termasuk lori tangki, alat timbang, pakaian, beg serta kasut tiruan hasil rampasan sepanjang operasi penguatkuasaan dari tahun 2023 hingga kini.
Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, kesemua barangan tersebut adalah susulan tindakan undang-undang membabitkan kesalahan urusan niaga barang kawalan tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, penggunaan cap dagangan berdaftar secara tidak sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 serta kesalahan memberi gambaran harga mengelirukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Sementara itu, Mohd Mufsi turut memaklumkan kejayaan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras penyelewengan barangan kawalan bersubsidi menerusi Ops Tiris apabila sebuah kapal tunda dipercayai membawa 47,000 liter minyak diesel dirampas dalam serbuan bersepadu di jeti berhampiran Sungai Kuang, Chukai, Kemaman pada 27 September lalu.
Rampasan dianggarkan bernilai RM1.66 juta.
Lapan lelaki warganegara Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Sindiket terbabit dipercayai membeli minyak diesel daripada kapal-kapal di perairan Laut China Selatan serta kapal berlabuh di jeti menggunakan paip getah dan pam kargo sebelum menjualnya semula secara haram di pasaran tempatan.
Mohd Mufsi berkata, pemeriksaan turut menemui tiga tangki penimbang kapal yang diubah suai untuk menyembunyikan minyak diesel.
"Pemeriksaan awal juga mendapati kapal terbabit tidak memiliki sebarang lesen ataupun permit yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan ataupun berurus niaga dengan barang kawalan berkenaan," katanya pada sidang media di Chendering, di sini.
Serbuan dijalankan enam pegawai KPDN bersama lapan pegawai PDRM hasil risikan selama lima bulan.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.