KERIAN, 30 September - Polis menahan tiga lelaki di Kerian, Perak bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki disyaki akibat ditembak, semalam.
Maklumat awal berhubung kejadian diterima pada pukul 3.55 pagi.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Semanggol telah pergi ke lokasi kejadian iaitu di Kampung Selamat.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tembakan di bahagian belakang badan mangsa berusia 43 tahun.
Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian telah menahan dua suspek berusia 32 dan 33 tahun dengan salah seorang daripadanya mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa.
Siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek telah tertembak mangsa kerana menyangka mangsa adalah haiwan buruan ketika sedang memburu di Batu Caves, Selangor pada 28 September lalu bersama dua lelaki lain.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Semanggol dengan sebuah kenderaan dan diiringi dua kenderaan lain sebelum mayat tersebut ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap.
Polis Perak dengan bantuan BSJ IPD Gombak turut berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas tiga buah kenderaan, dua laras senapang buatan sendiri dan 11 butir peluru serta empat telefon bimbit.
Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari sehingga 6 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek dalam kejadian tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian, ASP Ambri Mat Nayan ditalian 0125306567 atau IPD Kerian di talian 057215222.