KOTA KINABALU, 23 Oktober- Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital atas tuduhan menghina mahkamah terhadap Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan aktivis, Che Muna Din.
Kedua-dua mereka sebelum ini menerima notis tunjuk sebab daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung dakwaan penghinaan terhadap mahkamah dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, 13.
Shafie menerima notis berkenaan pada 23 September manakala Che Muna pada 10 September lalu.
Permohonan itu dikemukakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang akan meneliti hujahan serta dokumen dikemukakan pihak Pendakwaan bagi menentukan sama ada wujud unsur penghinaan mahkamah.
Pasukan pendakwaan yang mengendalikan inkues allahyarham Zara Qairina mengesahkan perkara tersebut kepada RTM di sini hari ini.
Sekiranya mahkamah berpuas hati terdapat kes prima facie penghinaan mahkamah, koroner akan membenarkan Notis Permohonan, Afidavit Sokongan, Perintah Mahkamah dan dokumen berkaitan diserahkan kepada pihak yang dituduh untuk menjawab sebelum prosiding komital didengar secara inter-parte.
Sementara itu, dua saksi kanak-kanak baharu akan mula memberi keterangan secara tertutup di hadapan koroner selepas permohonan tersebut selesai.
Dua saksi berkenaan masing-masing merupakan saksi kanak-kanak ke-20 dan ke-21 serta saksi ke-29 dan ke-30 bagi keseluruhan prosiding inkues.