fb fb fb fb fb

Peniaga warga Pakistan didenda RM8,000, jual perhiasan ayat al-Quran salah cetak

Foto fail/RTM

KANGAR, 23 Oktober -Mahkamah Majistret Kangar mengenakan denda RM8,000 terhadap seorang peniaga warga Pakistan kerana menjual perhiasan ayat al-Quran yang mengandungi kesilapan cetakan.

Majistret, Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, Khan Mahammad Hassan, 54 tahun membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dan menjual bahan bercetak al-Quran yang mengandungi kesilapan atau tidak mengikut kaedah penulisan yang ditentukan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis perniagaannya iaitu Salim Maju Enterprise di Taman Pertiwi Indah, Seriab pada 10.15 pagi, 29 Mac 2024.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan pasukan penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menemukan 52 barangan berkaitan al-Quran yang mengandungi kesilapan cetakan dipamerkan di premis perniagaan Salim Maju Enterprise.

Barangan tersebut terdiri 13 unit jam dinding dengan tulisan nama Allah dan ayat kursi pelbagai saiz, 14 unit bingkai ayat 1000 dinar, 10 unit bingkai ayat kursi, 9 unit bingkai surah 4 Qul dan 6 unit bingkai tulisan Muhammad.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (Pindaan) 2023 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 14(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri, Muhd Khairuddin Yusoff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh menjelaskan denda yang dikenakan.

TETITIA YUSOFF