KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun selepas disyaki membunuh seorang lelaki warga asing di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook, berkata suspek ditahan berhampiran Menara UOA, sembilan jam selepas mayat mangsa ditemui di Persiaran Ara Kiri pagi tadi.
Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa baru sahaja berkenalan sebulan lalu dan tinggal di bawah jejambat di Bangsar.
Ketika kejadian, suspek dan mangsa bergaduh sebelum mangsa ditolak ke dalam saluran air di belakang sebuah bangunan kedai tidak beroperasi.
Suspek kini ditahan di untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki berusia 40-an yang dipercayai gelandangan pada pukul 8.03 pagi tadi di Persiaran Ara Kiri.
Mangsa yang ditemui dengan kecederaan di kepala dipercayai dibunuh pada pukul 10.21 malam tadi (Selasa).