KUALA LUMPUR, 27 Mac- Polis menahan pendakwah bebas, Zamri Vinoth di Kangar, Perlis hari ini bagi membantu siasatan berhubung hantaran di Facebook yang didakwa boleh menggugat ketenteraman awam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima semalam daripada seorang lelaki berusia 62 tahun berhubung hantaran berkaitan rundingan penempatan semula tapak sebuah kuil di Jalan Munshi Abdullah di ibu negara.
Razarudin memaklumkan Zamri Vinoth atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 41, telah dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar sebelum permohonan reman di Mahkamah Kangar esok.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sedang mengambil tindakan lanjut berkaitan akaun Facebook milik Zamri Vinoth.