fb fb fb fb fb

Polis Ipoh tahan dua lelaki, rampas mercun, bunga api bernilai RM10,000

Foto fail

IPOH, 28 Mac - Polis menahan dua lelaki tempatan kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan mercun serta bunga api dalam operasi di dua lokasi berbeza di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek, berusia sekitar 30-an, ditahan dalam operasi penguatkuasaan di 126 premis di sekitar bandar raya Ipoh.

“Suspek ditahan di Kanthan dan Klebang selepas risikan serta intipan selama seminggu di lokasi terbabit,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Menurut beliau, pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM10,000 dirampas dalam operasi itu, dengan bahan tersebut disimpan di sebuah gudang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mereka melanggar syarat lesen kerana menjual mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan. Jenis mercun dan bunga api yang dibenarkan telah ditetapkan, tetapi pelesen tetap melanggar peraturan ini,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata operasi yang dijalankan enam pegawai dan 29 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu bermula pada pukul 12 tengah hari dan berakhir 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi mereka adalah menyimpan mercun dan bunga api di gudang, dan hanya menjualnya kepada pelanggan tertentu apabila terdapat permintaan,” katanya.

Katanya sebanyak 200 permohonan permit menjual mercun dan bunga api diterima sempena Aidilfitri, namun hanya 126 permit diluluskan.

“Tindakan tegas seperti tangkapan, rampasan di bawah Akta Bahan Letupan 1957, dan pembatalan permit akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar syarat permit,” katanya. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF