KEMAMAN, 27 Mac- Seorang pensyarah sebuah institut kemahiran di Kemaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan membabitkan kesalahan seksual terhadap dua pelajar perempuan, tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Syahir Sharifudeen, 38, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan lima kesalahan hubungan seksual menggunakan jari dan alatan mainan seks menyerupai kemaluan lelaki terhadap kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun.
Selain itu, tertuduh berdepan tiga pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan tabii terhadap salah seorang mangsa tanpa kerelaannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 17 November hingga 1 Disember tahun lalu, di dalam sebuah kereta di kawasan letak kenderaan Pusat Beli Belah Mesra Mall, Kemasik serta berhampiran Hotel Awana Kijal.
Bagi pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala bagi kesalahan persetubuhan bertentangan dengan tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ahmad Syahir turut berdepan tiga pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan kedua-dua mangsa yang sama.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua hukuman tersebut.
Tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan memiliki bahan lucah menyerupai kemaluan lelaki dalam keretanya di Institut Kemahiran Belia Negara, Kemasik pada 13 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan di Mahkamah Majistret.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim dan Lim Zhan Yi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Farhana Shamsudin.