fb fb fb fb fb

JKDM Perlis rampas dadah lebih 360 kg bernilai RM11.6 juta

JKDM Perlis menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 363 KG bernilai RM11,616,000 semasa melakukan rondaan laut di kawasan perairan Kuala Perlis dekat sini Isnin lepas/ BERNAMA

KUALA PERLIS, 27 Mac- Lebih 360 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM11.616 juta berjaya dirampas di perairan Sungai Siput, Kuala Perlis pada 24 Mac lalu.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah yang dipercayai dibawa masuk melalui sempadan negara sekitar pukul 3.00 pagi.

Menurut Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim, pihaknya mengesan bot gentian tanpa nombor pendaftaran bergerak laju dari kawasan perairan Thailand menuju ke Sungai Baru semasa melakukan rondaan di kawasan perairan berkenaan.

Beliau berkata pasukan itu memintas bot berkenaan dan mengarahkannya untuk berhenti, tetapi arahan terbabit tidak diendahkan sebaliknya bot itu terus memecut laju ke kawasan cetek. Bot tersebut ditinggalkan oleh suspek yang disyaki telah melarikan diri ke daratan.

"Pemeriksaan ke atas sampan tersebut menemui 18 guni putih dan satu guni hijau yang mengandungi bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine. Turut disita adalah sebuah sampan bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM85,000", katanya pada Sidang Media JKDM di Kuala Perlis.

Kesemua dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk pasaran di seluruh negara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

ROSLINA BINTI DIN