KUALA LUMPUR, 27 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi penipuan baharu yang mengambil kesempatan daripada sambutan Aidilfitri yang semakin hampir.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Rohaimi Md Isa, sindiket berkenaan mengubah suai poster "Ramadan bersama Shopee", meletakkan nombor telefon mangsa kononnya sebagai pemenang.
Mangsa kemudian akan dihubungi oleh sindiket dan diarahkan untuk mengaktifkan "ShopeePayLater" bagi menebus hadiah kemenangan tersebut. Setelah diaktifkan, mangsa menerima kod QR yang perlu diimbas.
Namun, selepas imbasan dibuat, mangsa mendapati wang dalam akaun banknya berkurangan secara tiba-tiba.
Sehingga kini, polis menerima satu laporan di Selangor melibatkan kerugian sebanyak RM3,006.03.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sejak 1 Januari hingga 24 Mac tahun ini, sebanyak 2,328 kes penipuan belian dalam talian dilaporkan, membabitkan kerugian RM19.6 juta, meningkat 36.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.