KUALA LUMPUR, 12 JUN- Bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammed Yusoff, 32, di akhir kes pendakwaan.
"Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan juga, mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk mahkamah ini mensabitkan tertuduh atas kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya.
"Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapi tanpa perlu dipanggil untuk membela diri," kata hakim.
Pada 28 April lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 13 saksi dalam prosiding perbicaraan yang bermula 7 April.
Muhammed Yusoff berdepan dua pertuduhan melibatkan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan selepas didakwa di Mahkamah Majistret pada 12 September 2024.