JOHOR BAHRU, 12 Jun- Seorang pengurus sumber manusia warga Singapura didenda RM9,100 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menyebabkan kerugian dan mengaibkan kehormatan seorang lelaki, minggu lalu.
Tertuduh Cheng Kuan Poh Colin, 40 tahun membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret A.Shaarmini.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat menyebabkan kerugian dan kebinasaan harta iaitu merosakkan sebuah kereta milik mangsa, Ng Yeow Meng, 32 tahun.
Tertuduh juga didakwa mengaibkan kehormatan mangsa dengan meludah ke mukanya, dengan maksud supaya mengganggu kesantunan mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Sutera Utama, Skudai, Johor Bahru, 7 Jun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 426 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala tertuduh diwakili Peguam, Norfarahin Mohd Yazid.