fb fb fb fb fb

Op Aidiladha: Lebih 3,000 notis dikeluarkan JPJ Negeri Sembilan

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 12 Jun- Sebanyak 3,044 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidiladha Tahun 2025 bermula 4 hingga 10 Jun.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf daripada jumlah itu antara yang direkodkan adalah 2,191 Notis JPJ (P) 22.

Ini diikuti dengan 333 Notis Panggilan Temu Siasat 114, 216 Notis 61(1) Arah Periksa dan 160 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan PG1.

"Kesemua notis dikeluarkan setelah pemeriksaan dijalankan terhadap 8,437 kenderaan.

"Saman turut dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat dengan 121 kesalahan, 83 kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan 60 kesalahan memandu kenderaan berat di lorong laju," demikian menurut kenyataan beliau.

Kesalahan lain turut melibatkan 32 kesalahan menggunakan lorong kecemasan, 27 kesalahan tidak memakai topi keledar dan 23 kesalahan memotong barisan.

Ini termasuk 19 kesalahan menggunakan telefon bimbit dan enam kesalahan memotong di garisan berkembar.  

Menurut Yusabra, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

"Seterusnya bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang- kurangnya 50% menjelang tahun 2030." katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID