fb fb fb fb fb

188 Warga asing dicekup Jabatan Imigresen di Pudu

Antara warga asing yang ditahan di sebuah kelab di Pudu / Foto JIM

Kuala Lumpur, 11 Jun – Seramai 188 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di sebuah kelab hiburan di kawasan Pudu, dalam operasi khas awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), operasi bermula pukul 2.00 pagi itu digerakkan hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM, Ibu Pejabat Putrajaya.

Seramai 129 pegawai Imigresen bersama 11 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditugaskan dalam operasi itu.

"310 individu diperiksa dalam serbuan berkenaan, merangkumi 128 lelaki dan 116 wanita warga asing, serta 66 warga negara tempatan." Menurut kenyataan rasmi JIM menerusi Facebook.

Antara yang ditahan termasuk individu dari Indonesia, Kemboja dan Nepal, berusia antara 21 hingga 35 tahun.

Pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan kesalahan seperti tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA dan Lenggeng bagi siasatan lanjut.

Dalam operasi yang sama, JIM turut mengeluarkan lapan saman saksi terhadap penyelia premis, penjaga serta seorang DJ wanita tempatan yang bertugas di kelab tersebut.

Pusat hiburan itu beroperasi dari 11.00 malam hingga 5.00 pagi, dengan menyajikan muzik rancak genre ‘dugem’ yang dimainkan oleh DJ tempatan dan asing sebagai tarikan utama kepada warga asing, khususnya dari Indonesia.

Ketika serbuan dilakukan, puluhan warga asing sedang leka berhibur di lantai tarian, tanpa menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa yang telah mengepung premis.

Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

JIM dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan, tinggal secara haram mahupun melampaui tempoh yang dibenarkan.

“Tindakan tegas akan turut dikenakan terhadap mana-mana individu atau pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini,” tegas JIM lagi.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ